Maryam, guru kelas Tadika menganjurkan satu permainan yang sungguh menarik untuk murid-muridnya. Setiap murid diminta membawa beg plastik yang berisi pisang yang tertulis nama orang yang paling mereka benci ke kelas pada esok hari. Jadi, jumlah pisang yang perlu dibawa bergantung kepada jumlah orang yang dibenci. Keesokan harinya, setiap murid membawa beg plastic berisi pisang masing-masing.

Ada yang membawa tiga biji, ada juga lima biji dan paling banyak lapan biji. Semuanya sudah ditulis nama orang yang paling mereka benci.

"Sekarang simpan pisang tu. Jangan lupa bawa ke mana sahaja kamu pergi
selama seminggu. Inilah permainannya. Selepas seminggu, kita akan tahu keputusannya" beritahu Cikgu Maryam.Kanak- kanak tersebut menyimpan
pisang masing-masing di dalam beg. Hari demi hari berlalu, pisang tersebut mula berbintik-bintik dan akhirnya menjadi busuk . Kanak-kanak itu mula merungutdan marah.
Mereka tidak menyukai permainan itu lagi kerana selain beg berat,badan berbau busuk. Ada yang menangis, enggan meneruskan permainan.Seminggu berlalu, pagi-pagi lagi murid-murid Maryam sudah bersorak. Permainan sudah tamat. Tidak ada lagi beban dan bau busuk yang perlu dibawa."Okey semua, apa rasanya bawa pisang dalam beg ke sana ke mari selama seminggu?" tanya Cikgu Mayam.

Semuanya serentak mengatakan mereka benci permainan itu. Mereka hilang kawan, sering diejek dan terpinggir. Lebih teruk lagi, terpaksa tidur,makan, mandi, bermain dan menonton TV dengan bau busuk.

"Itulah sebenarnya yang berlaku kalau kita simpan perasaan benci pada orang lain
dalam hati. Bau busuk kebencian itu akan mencemari hati dan kita akan membawanya ke mana saja kita pergi. Jika kamu sendiri tidak boleh tahan dengan bau pisang busuk hanya untuk seminggu, cuba bayangkan apa akan jadi kalau kamu simpan kebencian sepanjang hidup kamu" beritahu Cikgu Maryam. Maryam mengingatkan anak muridnya supaya membuang jah-jauh perasaan benci daripada membebani hidup. Kemaafan adalah yang terbaik. Menyayangi lebih baik darpada membenci..!!
Musyarakah mutanaqisah boleh digunakan bagi produk pembiayaan rumah mengikut konsep pemilikan bersama institusi perbankan dengan pelanggan menyumbang bahagian modal masing-masing yang diperlukan untuk memperoleh harta berkenaan menurut persetujuan kedua-dua pihak pada permulaan kontrak.

Bank Negara Malaysia dalam Laporan Tahunan 2007 yang dikeluarkan di sini hari ini berkata, musyarakah mutanaqisah ialah suatu bentuk perkongsian dengan salah satu rakan kongsi berjanji untuk membeli bahagian pemilikan rakan kongsi yang lain secara beransur-ansur sehingga ia memiliki sepenuhnya objek perkongsian.
Setelah pelanggan memperoleh sepenuhnya bahagian milik institusi perbankan terhadap harta berkenaan, perkongsian tersebut berakhir dan pelanggan menjadi pemilik tunggal harta itu, kata bank pusat.

Kontrak itu mengandungi unsur-unsur kontrak jual dan pajak (ijarah) yang menjadi keperluan asasi untuk memastikan riba (faedah) tidak wujud langsung dalam urus niaga musyarakah mutanaqisah itu. Selain itu, pengalaman prinsip-prinsip Syariah dalam kontrak musyarakah mutanaqisah mewujudkan hubungan, hak dan kewajipan khusus bagi setiap pihak yang memeterai kontrak.

Hasilnya, institusi perbankan terdedah kepada risiko pasaran yang berkaitan dengan pemilikan bersama aset berkenaan serta risiko kredit yang berkaitan dengan kewajipan pelanggan untuk memperoleh pemilikan aset dan kewajipan institusi perbankan untuk menjual bahagian pemilikannya terhadap aset tersebut.

Menurut Bank Negara, institusi perbankan perlu menggunakan kaedah yang lebih kukuh disebabkan pendedahan kepada risiko sedemikian, kaedah berkenaan perlu disokong oleh data dan sistem yang telus dan mantap yang mampu mengesan dan memberikan anggaran terbaik tentang kerugian yang mungkin ditanggung akibat perkembangan negatif profil kredit pelanggan. Proses dan infrastruktur pengurusan risiko institusi perbankan yang menawarkan produk seperti itu perlu dinamik dalam mengenal pasti, mengukur, mengawal dan mengurus semua risiko utama dan amalan pengurusan risiko pada setiap peringkat urus niaga musyarakah mutanaqisah.

BNM berkata, beberapa buah negara juga telah menerapkan keperluan pengawal seliaan tertentu untuk memastikan pengurusan yang bersesuaian terhadap risiko berkaitan dengan kontrak tersebut. Sebagai contoh, di negara yang menerima pakai rangka kerja kecukupan modal berdasarkan Standard Kecukupan Modal yang dikeluarkan oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam, kata Bank Negara. Institusi perbankan Islam dikehendaki memperuntukkan modal pengawalseliaan yang mencukupi bagi menampung pendedahan terhadap risiko harga berdasarkan bahagian yang dimiliki oleh institusi perbankan dalam aset yang mendasari kontrak berkenaan dan risiko kredit yang berpunca daripada sewa terkumpul yang perlu dibayar oleh pelanggan.

Bank Negara berkata, sejajar dengan pengurangan bahagian pemilikan institusi perbankan dalam aset, keperluan modal bagi risiko harga akan berkurang secara beransur-ansur sepanjang tempoh kontrak. Perkembangan kewangan Islam sebagai suatu bentuk pengantaraan kewangan berdaya maju dengan ciri-ciri khas serta sekatan dan imbangan yang terkandung di dalamnya dapat menyumbang ke arah mempertingkatkan kestabilan kewangan.
Comments: (0)
LA TAHZAN…HIDUP IBARAT MENCABUT GIGI!!!!

Berapa lama masa yang diperlukan untuk mencabut sebatang gigi yang rosak? Paling-paling 15 minit sahaja. Masa yang diperlukan untuk mencabut gigi ini adalah ibarat masa kita hidup di dunia ini. 15 minit jika dibandingkan dengan panjang umur manusia, mungkin 60-70 tahun, nilainya adalah sangat tidak signifikan.

Sekarang bandingkan 60-70 tahun hidup di dunia ini dengan kehidupan di Akhirat yang infiniti, yang kekal abadi, yang selama-lamanya, abadan abada. Apalah sangat yang ada pada nilai 60-70 tahun itu? Saya rasa kebanyakkan pembaca di sini paling-paling sudah berumur 20 tahun. Jika kita dapat hidup hingga umur 60 tahun, maka kita akan ada di bumi Allah ini selama 40 tahun sahaja lagi. Dalam masa 40 tahun ini sahajalah kita perlu banyakkan bersabar dalam menghadapi ujian Ilahi.


NASIHAT SEORANG PAKCIK
Kira-kira 3 minggu yang lepas ada seorang pakcik yang merupakan ahli jemaah tabligh berbangsa Pakistan yang menetap di Afrika Selatan datang menziarahi Masjid Dublin. Beliau boleh bercakap beberapa kerat perkataan orang kita. Antaranya: "Jemput masuk tuan mulia". Beliau memberikan nasihat tentang banyak perkara, terutamanya dalam hal-hal yang bertujuan untuk meningkatkan iman kita.

Cuma satu sahaja nasihat beliau yang mungkin akan ingat saya ingat sampai bila-bila. Katanya lebih kurang,
"Success in this world is limited. Tribulation in this world is limited. But success in the Akhirat (Paradise) is infinite and tribulation in the Akhirat (Hellfire) is also infinite."

Faham ke? Maksud beliau, dalam dunia ini, kejayaan kita ini ada hadnya. Dan bila-bila masa sahaja Allah boleh ambil kejayaan yang kita miliki. Begitu juga dengan musibah yang melanda. Jika pun sepanjang hidup kita ditimpa musibah, paling-paling ia berlaku dalam tempoh 50-60 tahun sahaja.

Tetapi di akhirat, kejayaan umat Islam yang mati dalam keadaan beriman teguh kepada Allah, ialah Syurga. Syurga adalah kejayaan hakiki manusia. Kejayaan inilah yang Rasulullah mahukan untuk umatnya. Kejayaan ini adalah selama-lamanya.

Maksud 'selama-lamanya' ini adalah melebihi nilai 1 juta tahun, hatta 100 bilion tahun. Kamu boleh bayang ke berapa lama tempoh 100 bilion tahun itu? Entahlah, saya pun tak mampu nak membayangkannya, apatah lagi menerangkannya. Apa yang saya boleh cakap, tempoh masa di antara letupan Big Bang dan hari ini ialah 13.7 bilion tahun.

13.7 bilion tahun diseksa di dalam neraka adalah satu perkara yang dahsyat lagi ngeri. Penjaga pintu Neraka, iaitu malaikat Malik juga adalah makhluk yang sangat bengis dan mengerikan. Ketika peristiwa Israk dan Mikraj, malaikat Malik adalah satu-satunya malaikat yang tidak senyum kepada Rasulullah sallahu alayhi wasalam. Seringan-ringan hukuman ke atas ahli Neraka pula ialah ke atas Abu Talib, iaitu pakcik kepada Rasulullah. Hukuman itu ialah memakai sepasang terompah yang akan membuatkan otak Abu Talib menggelegak.

Kita yang baru tersentuh sedikit cerek panas kadang-kadang sudah menjerit melolong bagai orang gila. Ini baru cerek panas. Di neraka mana ada hukuman pegang cerek panas yang kepanasannya setakat 100-200 darjah celcius. Saya tidak pernah lagi mendengar kisah aneh orang yang menggelegak otaknya apabila menyentuh cerek panas.

Maka bersabarlah dengan musibah yang Allah turunkan kepada kita. Sama ada kita bersabar atau pun tidak, musibah itu tetap perlu kita hadapi. Jika kita bersabar, kita semakin mendekatkan diri dengan Syurga Allah. Jika kita tidak bersabar, jangan salahkan Allah jika kita kena humban dalam Neraka. Jesteru itu hadapinya dengan tenang, sabar dan solat. Selesaikan ujian itu langkah demi langkah.

Maka sebagai penutup, ingatlah petua La Tahzan ini = Hidup ibarat mencabut gigi. Cabut gigi memang sakit, tapi sekejap sahaja sakitnya. Tapi doktor itu buat untuk kebaikan kita. Hidup di dunia dengan ditimpa satu dua musibah besar memang agak sakit, tapi sekejap sahaja sakitnya, paling-paling lama pun dalam 60-70 tahun sahaja. Allah menguji kita juga adalah demi kebaikan kita. Ujian mampu menghapuskan dosa-dosa silam kita, dan bagi para Nabi dan orang-orang soleh, ujian yang Allah turunkan kepada mereka adalah bertujuan untuk meningkatkan darjat mereka di sisi Allah.

Wallahu 'alaam.